Anyway,i was reading Mingguan Malaysia in the plane when this article caught my eyes.I think it is a good read, and there is a few lessons to be learned.
Seksanya hendak kahwin
Oleh Hafizahril Hamid
PERKAHWINAN bagi kebanyakan pasangan adalah sesuatu yang suci, indah dan abadi. Dari ketika menjalani proses percintaan hinggalah selesai upacara akad nikah adalah sesuatu yang biasa bagi setiap pasangan untuk melihat pasangan mereka sebagai pilihan terbaik.
Segala yang dilakukan akan dilihat sebagai sempurna di mata pasangan masing-masing. Namun di sebalik semua kesempurnaan ini satu-satunya masalah yang akan menghantui orang lelaki setelah mendapat persetujuan daripada keluarga pihak perempuan untuk 'menyunting bunga di taman' ialah wang hantaran.
Mungkin ada pihak yang merasakan perkara ini bukan satu bebanan bersesuaian dengan status dan pendapatan yang diperolehi. Apatah lagi bagi pihak keluarga perempuan ia umpama satu "hak eksklusif" dalam menetapkan berapa jumlah wang hantaran sebelum anak gadis mereka berpindah tangan kepada bakal suami.
Namun kita tidak boleh menafikan bahawa isu wang hantaran ini sering menghantui pasangan sebelum berkahwin. Soal wang hantaran jika munasabah bukanlah satu persoalan tetapi ia akan menjadi sesuatu yang membebankan jika keterlaluan. Maka akan kedengaranlah pandangan dan kritikan pedas masyarakat "nak jual anak ke".
Isu tentang wang hantaran ini bukanlah sesuatu yang baru dan harga yang ditetapkan semakin meningkat bersesuaian dengan keadaan dan realiti semasa kehidupan.
Dalam membicarakan hal ini penulis teringat gurauan yang diluahkan oleh seorang sahabat yang berpengalaman dalam menguruskan perkahwinan bahawa ia umpama membeli tiket kapal terbang.
Kebiasaannya harga tiket agak murah dan mampu dimiliki tetapi yang membuat harganya lebih mahal ialah pembayaran tambahan akibat terpaksa membayar cukai airport, pengurusan dan surcaj. Ini yang membuatkan penumpang terpaksa memilih dan berkira sebelum membuat keputusan.
Situasi ini yang terpaksa dihadapi oleh para pengantin lelaki apabila terpaksa membayar wang hantaran yang mahal padahal wang mas kahwinnya hanya berapa sangat.
Oleh itu ramailah lelaki yang terpaksa kahwin lewat akibat terpaksa mengumpul wang dan mengikat perut sebelum dapat melampiaskan hajat yang tersimpan sejak sekian lama.
Dari segi hukumnya pembayaran wang hantaran bukanlah sesuatu yang perlu namun kerana menghormati adat dan tradisi kita sebagai orang Melayu maka perkara seperti hantaran dan persandingan lebih menjadi perhatian.
Dan secara umumnya wang hantaran ini diberikan kepada pihak pengantin perempuan sebagai tanda pemberian ikhlas yang kemudiannya boleh digunakan untuk mengurus kerja-kerja persandingan.
Apatah lagi urusan persandingan dari pakaian pengantin hinggalah makan minum jemputan melibatkan perbelanjaan yang agak besar memandangkan tradisi menanggah dan tolong menolong ketika majlis perkahwinan semakin pupus.
Maka perbelanjaan perkahwinan yang agak besar ini bersesuaian dengan kemeriahan yang dialami ketika majlis pernikahan dan persandingan berlangsung. Secara puratanya kadar wang hantaran pada masa sekarang ialah sekitar RM8,000 hingga RM10,000. Dan berdasarkan keadaan ekonomi dan kemakmuran negara ini ia mungkin dianggap munasabah.
Namun jika dikira semula termasuklah perbelanjaan kenduri di kedua-dua belah pihak, jumlah meningkat sehingga sekitar RM12,000 hingga RM20,000. Pastinya jumlah itu dianggap agak membebankan dan ramai lelaki terpaksa mengeluh sebelum berkahwin.
Bagi kebanyakan eksekutif muda yang berpendapatan sekitar RM1,800 hingga RM2,500, untuk menyimpan wang hantaran seperti yang disebutkan di atas mungkin tiada masalah tetapi ia pastinya mengambil masa sekitar dua hingga lima tahun.
Ditambah pula dengan bebanan dan kos hidup di ibu kota yang semakin meningkat akhirnya ramai lelaki terpaksa kahwin lewat malah ia dilihat semakin menjadi trend kebelakangan ini.
Maka jalan terbaik dalam menyelesaikan keserabutan ini ialah dengan membuat pinjaman bank.Pinjaman
Hendak disalahkan pihak bank tidak boleh kerana ia adalah sebahagian dari hukum perdagangan untuk mencari keuntungan. Mereka ini senantiasa melihat peluang dalam kekusutan. Sebarang peluang yang boleh menguntungkan pastinya tidak akan mampu ditolak oleh perusahaan perbankan.
Oleh itu hendak atau tidak kebanyakan lelaki yang mahu berkahwin terpaksa membuat pinjaman dan turut terbukti bagi pihak bank bahawa bentuk perniagaan ini sangat menguntungkan.
Yang menjadi kebimbangan, apabila ia menjadi satu ikutan sehingga hantaran perkahwinan semakin meningkat di luar kebiasaan dan mencecah ratusan ribu.
Bagi mereka yang mampu mungkin tidak ada masalah dan ia dianggap sebagai pemberian ikhlas. Tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah sukar untuk memenuhi permintaan pihak pengantin perempuan jika wang hantarannya mencecah puluhan ribu ringgit.
Jika kita perhatikan beberapa ketetapan dan alasan sering digunakan dalam menetapkan wang hantaran ini. Seperti yang dikatakan tadi penetapan wang hantaran kebanyakannya merupakan hak eksklusif keluarga pengantin perempuan.
Walaupun mungkin beberapa perbincangan dilakukan dalam menetapkan wang hantaran antara pihak kedua-dua bakal mempelai namun keputusan akhir akan tetap diputuskan oleh pihak perempuan. Maka pada kebiasaannya harga wang hantaran ditetapkan atas beberapa kriteria.
Kriteria pertama terletak kepada pengaruh keluarga pengantin perempuan. Jika pihak perempuan "mata duitan" maka mahallah duit hantaran yang perlu dikeluarkan. Kita tidak boleh menafikan terdapat segelintir ahli masyarakat yang masih berfikiran begini semata-mata untuk meraih keuntungan hasil dari perkahwinan yang akan berlangsung. Sikap sebegini pastinya akan membuatkan masyarakat memandang serong terhadap pihak keluarga serta merosakkan jalinan institusi kekeluargaan itu sendiri.
Kriteria kedua ialah tahap akademik pengantin wanita itu sendiri. Semakin tinggi tahap pendidikan wanita tersebut semakin mahal wang hantarannya.
Kriteria ketiga ialah paras rupa wanita yang bakal disunting. Walaupun perkara ini agak subjektif kerana kecantikan seseorang wanita dinilai berbeza oleh lelaki berdasarkan cita rasa dan kehendak peribadi namun ia merupakan antara kriteria penting dalam penetapan wang hantaran. Semakin cantik dan 'bergetah' seseorang wanita itu semakin tinggilah harga yang perlu dibayar.
Kriteria terakhir dalam hal ini ialah jenis pekerjaan dan pendapatan bulanan yang diterima. Pastinya pekerjaan seperti doktor, akauntan dan jurutera dibayar gaji yang mahal, oleh itu jumlah wang hantaran turut meningkat.
Berdasarkan kriteria di atas adalah jelas kenapa harga wang hantaran agak sukar dikompromi oleh pihak perempuan. Paling jelas harga wang hantaran termahal ini selalunya didominasi oleh golongan artis.
Ini mungkin berkait dengan soal kecantikan yang dimiliki selain dari pendapatan tinggi dan populariti yang diperoleh.
Sebelum ini, penyanyi Juliana Banos yang berkahwin dengan Pengarah Urusan Mutiara Motor Sdn Bhd, Mokhtar Ahmad pada 16 Disember 2005, dinobat sebagai antara artis yang menerima wang hantaran tertinggi di negara ini, iaitu RM77,888.77.
Itu tidak termasuk dua bentuk cincin berlian jenama Cartier dan Carat Club yang bernilai lebih RM10,000, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) serta set wangian.
Penyanyi ternama negara, Datuk Siti Nurhaliza pula menerima wang hantaran dari suaminya Datuk Seri Muhammad Khalid Jiwa sebanyak RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.
Satu lagi insiden juga melibatkan antara wang hantaran tertinggi di negara ini tetapi tidak kekal lama membabitkan bekas model, Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Roslan Hashim.
Puteri Shahanaz menerima wang hantaran RM444,444.44 dan mas kahwin RM22,222.22.
Selain itu, Puteri Shahanaz turut menerima 22 hantaran termasuk kereta BMW 320i berharga RM250,000; set barangan kemas (RM150,000); jam tangan Rolex (RM25,000); cincin (RM20,000) serta beg tangan, kasut, wangian dan kosmetik jenama terkenal.
Gilang gemilang
Pasangan tersebut diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Lorong Tok Sira 3 pada September 2006 manakala majlis persandingan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.
Roslan yang ketika itu merupakan Pengerusi Eksekutif Ghaz Properties Sdn Bhd, berkata beliau membelanjakan RM3.5 juta bagi memastikan majlis persandingan berlangsung penuh gilang-gemilang.
Bagaimanapun kebahagiaan yang diharapkan tidak kekal lama apabila setahun kemudian pasangan ini bercerai pada 4 Oktober 2007.
Puteri Shahanaz memohon cerai fasakh dan Roslan bersetuju membayar tuntutan mutaah RM100,000 secara ansuran, iaitu RM5,000 sebulan kepada Puteri Shahanaz. Roslan turut bersetuju membayar nafkah RM1,500 sebulan kepada anak tunggal mereka, Putera Airil Imran.
Kisah di atas ini pastinya memberi pengajaran bahawa wang hantaran yang tinggi dan majlis perkahwinan yang keterlaluan gahnya bukanlah penentu kepada kebahagiaan berlanjutan sehingga ke akhir hayat. Ditambah pula dengan pelbagai jumlah wang hantaran dengan nombor menarik beserta dengan tarikh perkahwinan yang lain daripada lain, ia seolah-olah telah menjadi trend yang mempengaruhi masyarakat.
Secara peribadi hantaran perkahwinan tidaklah perlu terlalu menekan sehingga menjadi beban kepada pasangan pengantin. Ada yang berpandangan supaya wang hantaran ini perlu dikongsi antara kedua mempelai bagi mengelakkan bebanan keterlaluan kepada pengantin lelaki. Mungkin ada baiknya saranan sebegini namun jika wang hantaran ditetapkan lebih rendah ia pastinya lebih melegakan semua pihak.
Perlu difahami wang hantaran ini ditetapkan bagi keperluan pihak perempuan mengendali majlis persandingan sebelah mereka. Semakin meriah majlis perkahwinan semakin tinggilah wang hantaran yang perlu dikeluarkan.
Oleh itu cara terbaik untuk mengatasi masalah wang hantaran tinggi ini ialah dengan kembali kepada ajaran agama.
Hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus.
Manakala mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya.
Maka Islam sendiri menerangkan apa yang perlu diutamakan dalam sesebuah perkahwinan iaitu mas kahwin dan bukannya wang hantaran. Tetapi kerana kepercayaan masyarakat kita yang terlalu berpegang pada adat maka kita lebih mengutamakan wang hantaran yang tinggi daripada kesempurnaan majlis akad nikah.
Stigma inilah yang perlu diubah oleh masyarakat. Bukan bermaksud untuk menidakkan kepentingan wang hantaran perkahwinan ini namun ia perlulah sekadar termampu dan paling penting keikhlasan.
Ia perlu dilaksanakan mengikut kemampuan dan tidak membazir semata-mata mahu menunjuk-nunjuk kepada orang keliling. Perbuatan sebegini hanya menambahkan lagi dosa kita.
Wang hantaran sememangnya menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk dipenuhi dan jika dilihat dari sudut kebaikannya, ia umpama persediaan awal seseorang bakal suami untuk menanggung tanggungjawab sebelum memulakan kehidupan berkeluarga.
Pastinya usaha mengumpul wang hantaran ini mampu mengajar tanggungjawab sebenar si lelaki sebelum bergelar suami yang bakal menanggung isteri dan bakal anak-anak.
Satu lagi ia pasti turut mengajar mereka bahawa bukan senang hendak berkahwin dan melamar anak dara orang.
Oleh itu jika pada masa depan mungkin terlintas di hati hendak menambah isteri lagi, mungkin mereka akan berfikir lima enam kali, betapa peritnya satu ketika dulu 'mengikat perut' hendak mengumpul wang dan berhutang sebelum akhirnya mampu berkahwin.
8 comments:
Tuh la.. memang pening kalau pikir bab kewangan.Yang penting nya adalah kehidupan selepas berkahwin. :)
haliza: yes,saya setuju.dalam persiapan majlis perkahwinan,jangan dilupakan tanggungjawab dan dugaan yang bakal tiba lepas berkahwin nnti :)
money can b the root of evil..
hantaran yg tinggi tidak menjamin apa2...trend juga berubah2...
yg penting kembali kpd rukun nikah..itu yg penting =)
ms tepung: saya setuju jugak :)kadang2 kita terbawa2 dgn trend sampai lupa pada yang lebih penting.
so true...tp org melayu kan. bajet la~ esp org2 tua yg 'biar mati anak, jgn mati adat'.
i remembered mase nak kawen dulu, my grandma was like " x kan RM xxxx je utk hantaran, die blaja tinggi keje pon bagus" i was like "erk.. kalau blaja tinggi and keje bagus that means gaji pon ok la, so patutnye hantaran lg sket la coz sudah self sufficient oke?" tp dlm hati je la, nnti kureng ajar la plak.. hoho~
naddie: ha ah tu la pasal.somehow dah jadi mindset macam tu dalam kita punya society.huhu.
kembali kepada rukun nikah...stuju!
hmm wedding aku aku jamu biskut tawar cicah teh..itu je, muahaha
heheheh..takpelah apih,biskut tawar pun jadilaa..haha.yang penting aku nak tgk bini ko yang bertuah itu :)
Post a Comment